
NAIK TARAF LONGKANG KAMPUNG LIMBONGAN INISIATIF KURANGKAN RISIKO BANJIR
KESIDANG 21 Oktober – Kekerapan banjir menghantui penduduk Kampung Limbongan, di sini, dijangka dapat dikurangkan selepas kerja-kerja naik taraf longkang dan sistem perparitan yang giat dijalankan siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Soh Chin berkata, tindakan segera itu diambil selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk bulan lalu.
“Penduduk memaklumkan setiap kali hujan lebat, air tidak dapat mengalir dengan lancar, bertakung dan kemudian melimpah keluar dari tebing longkang. Justeru tindakan segera diambil dengan membina longkang baharu sepanjang kira-kira 80 meter.
“Diharap tindakan ini dapat mengurangkan risiko banjir setiap kali hujan lebat, naik taraf amat perlu memandangkan longkang lama agak sempit dan mengalami kerosakan,” katanya.
Allex yang juga Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, kerja naik taraf itu membabitkan anggaran kos RM50,000 yang disalurkan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU).
“Menerusi peruntukan diterima itu kita melaksanakan kerja naik taraf disebahagian kawasan rumah-rumah yang kerap banjir dan ia akan disambung selepas menerima peruntukan baharu.
“Selain itu, menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga beberapa langkah telah dipersetujui antaranyapemasangan pintu air dan pam bakal dilaksanakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.