
MPAG BANTU BINA BAHARU, BAIK PULIH 17 RUMAH GOLONGAN MEMERLUKAN
ALOR GAJAH 21 Oktober – Pemilik 17 kediaman melibatkan golongan kurang berkemampuan dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mendapat manfaat menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) tahun ini.
Yang Dipertua MPAG, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, daripada jumlah itu, tiga unit rumah dibina baharu manakala 14 lagi dibaik pulih dengan keseluruhan kos berjumlah lebih RM491,000.
“Bagi kategori bina baharu, jumlah kos ialah RM252,623.10, manakala bagi baik pulih pula RM238,611.00. Program ini memberi impak besar kepada golongan berpendapatan rendah kerana ia membantu menampung kos yang agak tinggi bagi kerja membaik pulih atau bina baharu rumah.
“Ia juga selaras dengan saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh supaya mengutamakan kebajikan dan denyut nadi rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut beliau, kos membaik pulih sebuah rumah dianggarkan antara RM15,000 hingga RM20,000 manakala bina baharu pula antara RM80,000 hingga RM90,000.
“MPAG sentiasa peka terhadap keperluan rakyat di daerah Alor Gajah, khususnya golongan berpendapatan rendah dan kami bekerjasama rapat dengan pihak Japerun serta kepimpinan masyarakat bagi menyalurkan maklumat berkaitan.
“Selain membantu rakyat, MPAG turut melaksanakan pelbagai inisiatif sejajar dengan sasaran Bandar Lestari dan Berdaya Huni Menjelang 2035.
“Antaranya termasuk perancangan pembangunan mampan, pemeliharaan alam sekitar, pembangunan infrastruktur hijau, penggalakan pelancongan dan ekonomi tempatan, pemerkasaan komuniti serta pendigitalan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.