
PEMUDA DISYAKI ‘LIBAS’ REMAJA PEREMPUAN DITAHAN
AYER KEROH 21 Oktober – Tindakan pantas pasukan polis berjaya memberkas seorang pemuda yang disyaki terbabit dalam kejadian mencederakan seorang remaja perempuan menggunakan pisau dalam kejadian di Tangga Batu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 25 tahun ditahan pada jam 11 malam semalam oleh sepasukan polis di sebuah rumah di Jalan Tangga Batu.
“Susulan maklumat diterima berkaitan kejadian jenayah itu, pasukan polis menjalankan usaha menjejaki suspek dan kemudiannya membawa kepada tangkapan lelaki terbabit.
“Selain tangkapan, polis turut membuat rampasan antaranya sebuah motosikal Yamaha LC135 dan pakaian yang disyaki digunakan semasa kejadian. Hasil soal siasat terhadap suspek kami berjaya menemui dan merampas sebilah pisau anggaran panjang 27 sentimeter (cm) di Jalan Tangga Batu, kira-kira jam 1.30 pagi tadi,” katanya.
Menurut beliau, motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek kini ditahan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Terdahulu dalam kejadian berhampiran Tangga Batu Seksyen jam 4.45 petang semalam, remaja perempuan berusia 19 tahun juga pekerja di sebuah kilang di Tangga Batu cedera di pinggang selepas dipercayai dilibas objek tajam oleh seorang lelaki tidak dikenali.
Mangsa sedang membonceng motosikal ditunggang kakak iparnya dikatakan tiba-tiba berasa sakit di bahagian belakang sebelum menemui kesan luka pada belakang badannya.
Sejurus kemudian mangsa meminta kakak iparnya memberhentikan motosikal di tepi jalan sebelum mendapati terdapat koyakan pada belakang bajunya dan kesan luka oleh libasan objek tajam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.