Sorting by

×

TINDAKAN SEGERA BANTU SELESAI ISU LESEN NELAYAN KLEBANG

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KLEBANG 21 Oktober – Nasib nelayan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang terus mendapat perhatian apabila beberapa lesen yang sebelum ini tertangguh kini sudah diperbaharui hasil tindakan susulan wakil rakyat bersama agensi berkaitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Jabatan Perikanan Negeri Melaka selepas pihaknya menerima aduan daripada komuniti nelayan berkaitan permohonan lesen baharu dan pembaharuan lesen yang belum diluluskan.

Menurutnya, setakat ini sebanyak lapan permohonan lesen nelayan telah dikemukakan, iaitu enam melibatkan Jeti Nelayan Sungai Lereh dan dua lagi Jeti Klebang Besar.

“Tindakan segera perlu bagi bagi memastikan semua nelayan dapat terus beroperasi secara sah dan selamat. Saya telah menyerahkan surat rasmi kepada Jabatan Perikanan Negeri Melaka dan turut mengadakan pertemuan bersama pengarah jabatan berkenaan bagi memaklumkan masalah yang dihadapi nelayan di kawasan ini.

“Susulan itu, pihak jabatan bersetuju mengaturkan sesi temu duga bagi permohonan lesen yang dikemukakan, saya akan terus memantau perkembangan lanjut hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Klebang yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Klebang, pada Ahad.

Ban Hong berkata, inisiatif itu juga memperlihatkan keberkesanan WRUR yang menggabungkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan untuk turun padang bagi mendengar secara terus permasalahan rakyat.

“WRUR hanyalah permulaan, kita akan teruskan momentum ini agar sebarang isu berkaitan nelayan atau masyarakat setempat dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

465
Kongsi :
Previous post TIDAK PATAH SEMANGAT, NORAIMI BUKTI OKU BERKAKI PALSU BOLEH BERJAYA
Next post MPAG BANTU BINA BAHARU, BAIK PULIH 17 RUMAH GOLONGAN MEMERLUKAN