Sorting by

×

MAIMON TABAH DIUJI KANSER TAHAP EMPAT

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

DURIAN TUNGGAL 29 Oktober – Menerima hakikat dirinya menghidap kanser pundi kencing tahap empat bukan perkara yang mudah, namun Maimon Md Deni, 67, tetap tabah menghadapi ujian itu.

Menurut Maimon, pada awalnya dia menyangka mengalami masalah batu karang, selepas kejadian kencing berdarah namun dunianya gelap seketika apabila disahkan menghidap kanser empat bulan lalu.

“Menyebut dan mendengar perkataan kanser sahaja sudah menakutkan, tetapi saya reda dengan ujian ini. Selain rawatan susulan di Hospital Melaka, saya kini perlu menjalani sesi kemoterapi tiga kali seminggu, doakan saya terus kuat dan sembuh semula,” katanya.

Warga emas ini berkata demikian ketika ditemui di kediamannya selepas Ziarah Kasih (Jabatan Kebajikan Masyarakat) JKM Bersama YB Exco Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di Kampung Bukit Tambun, Durian Tunggal, semalam.

Ziarah itu melibatkan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil.

Ketika ditemui Maimon meluahkan perasaan terharu apabila dikunjungi pemimpin Kerajaan Negeri yang turut meluangkan masa untuk bertanyakan khabar.

“Agak terharu apabila ramai datang ke rumah untuk bertanya khabar, meskipun cuma singgah sempat juga kami berkongsi cerita. Alhamdulillah, Datuk Kalsom memaklumkan saya akan menerima bantuan bulanan RM500. Bantuan itu nanti sekurang-kurangnya dapat meringankan perbelanjaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

681
Kongsi :
Previous post 80 PERATUS ISU KEBAJIKAN DUN DURIAN TUNGGAL SELESAI
Next post KARYA SEJARAH ‘BARA SENGKETA’ BAWA TUAH KEPADA MOHD KASIM