Sorting by

×

MPHTJ DINOBATKAN BANDAR PALING MAMPAN

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 29 Oktober – Mencatatkan skor tertinggi sebanyak 98.67 peratus, sekali gus mengatasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bandar Paling Mampan bagi Kategori Perbandaran Tahun 2025.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, pengiktirafan itu secara tidak langsung membuktikan komitmen berterusan warga kerja MPHTJ dalam memastikan persekitaran dalam kawasan pentadbiran PBT itu kekal mampan, inklusif serta berdaya huni.

Sapiah berkata, penganugerahan diterima daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu juga menunjukkan MPHTJ sentiasa mengutamakan keperluan seluruh komuniti perbandaran semasa serta generasi masa hadapan.

“Menerusi pencapaian ini, MPHTJ tampil sebagai antara PBT kategori perbandaran yang terkehadapan dalam penerapan konsep kemampanan bandar melibatkan aspek urus tadbir, perancangan dan pembangunan kawasan.

“Pengiktirafan diterima adalah kejayaan semua warga MPHTJ yang turut sama menyumbang dan memainkan peranan masing-masing bagi pembentukan persekitaran perbandaran mampan di MPHTJ,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Sapiah, kejayaan yang diperolehi itu sekali gus mengekalkan status Perbandaran Paling Mampan untuk tiga tahun berturut-turut oleh MPHTJ selepas menerima pengiktirafan pada 2023 dan 2024.

Terdahulu, anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Menteri KPKT, Datuk Dr. Aiman Athirah Sabu pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

399
Kongsi :
Previous post MFS TECHNOLOGY TAMBAH KELUASAN KILANG, PERKUKUH OPERASI DI MELAKA
Next post GALAK WANITA LAKUKAN SENDIRI PEMERIKSAAN SETIAP BULAN