
‘JANGAN TUNGGU SAKIT BARU JUMPA DOKTOR’
DURIAN TUNGGAL 30 Oktober – Rakyat Melaka disarankan supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, sekali gus menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.
Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Siti Faizah Abdul Azis berkata, pemeriksaan berkala mampu membantu mengesan masalah kesihatan pada peringkat awal, sekali gus meningkatkan lagi peluang untuk sembuh.
Siti Faizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, berkata kesedaran berhubung gaya hidup sihat amat penting berikutan dunia ketika ini terdedah kepada risiko pelbagai jenis penyakit.
“Contoh akibat pemakanan tidak seimbang dan kurang aktiviti fizikal, kita kini berdepan dengan pelbagai jenis penyakit yang bukan sahaja kanser payudara.
“Sebab itu, penting untuk melakukan saringan kesihatan secara berkala sama ada setiap bulan atau dua hingga tiga bulan sekali,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Negeri Melaka 2025 bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Durian Tunggal di Kompleks Japerun Durian Tunggal, di sini, semalam.
Hadir sama Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil dan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa.
Siti Faizah berkata, program berkonsepkan kesihatan seperti itu melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri bagi memberi pendedahan secara langsung kepada masyarakat.
“Menjaga kesihatan bukan hanya tanggungjawab individu, tetapi usaha bersama antara kerajaan, agensi dan komuniti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


