Sorting by

×

WRUR: MALAM PENUH SYAHDU WARNAI ALOR GAJAH BERSELAWAT

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

DURIAN TUNGGAL 31 Oktober – Masjid An-Naim Kampung Pulau, di sini, bergema dengan alunan selawat daripada ratusan umat Islam yang hadir.

Ia bersempena Alor Gajah Berselawat yang menjadi antara pengisian keagamaan  dibawakan pada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil berkata, dianggarkan lebih 700 jemaah hadir memenuhi ruang masjid bagi bersama-sama menghayati tema ‘Meneladani Rasul, Menyemai Kasih Ilahi’ dalam majlis penuh keberkatan itu.

“Program malam ini merupakan penutup di Kampung Pulau, Durian Tunggal dan seterusnya kita akan bergerak ke kampung dan taman perumahan lain dengan pengisian yang telah dirangka.

“Sepanjang WRUR ini, pelbagai program besar kita jalankan seperti majlis berselawat, program bersama Ustaz Shamsul Debat, kuliah dan pelbagai lagi aktiviti keagamaan sehingga tamat WRUR,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas majlis berkenaan malam tadi.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta pemimpin setempat.

Majlis itu diwarnai dengan pelbagai pengisian antaranya, tausiyah khas yang disampaikan oleh Imam Muda Asyraf.

Tausiah itu menyentuh mengenai keperibadian Rasulullah SAW serta penghayatan nilai kasih dan rahmah dalam kehidupan seharian.

Turut menambah seri malam tersebut ialah persembahan qasidah oleh kumpulan Fayha As Syam yang mengalunkan selawat dengan penuh merdu dan mengusik jiwa para jemaah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

697
Kongsi :
Previous post PELBAGAI INISIATIF UNTUK BELIA MELAKA
Next post MYKIOSK STADIUM HANG JEBAT BUKAN PROJEK GAJAH PUTIH, KINI LUBUK REZEKI 30 PENIAGA