
MYKIOSK STADIUM HANG JEBAT BUKAN PROJEK GAJAH PUTIH, KINI LUBUK REZEKI 30 PENIAGA
PAYA RUMPUT 31 Oktober – Dakwaan mengaitkan kawasan peniaga MyKiosk di Stadium Hang Jebat sebagai projek ‘gajah putih’ disangkal Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin.
Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri menegaskan bahawa 30 kios yang disediakan di kawasan itu sudah mula beroperasi dan dipenuhi peniaga.
Menurut beliau, memandangkan kawasan itu masih dalam fasa awal pengenalan tapak, diakui jumlah pengunjung masih belum ramai, namun beliau optimis tapak perniagaan itu akan berkembang maju dengan sokongan pelbagai pihak.
“Selain itu, sokongan padu telah diberikan oleh pihak Japerun Paya Rumput dengan memberikan para peniaga peluang berniaga secara percuma buat masa ini.
“Malah kita juga sedang membantu mereka mendapatkan pinjaman tanpa faedah daripada Bank Rakyat supaya memudahkan urusan mencari rezeki,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Tangga Batu yang mendakwa projek MyKiosk Stadium Hang Jebat tidak berfungsi dan perlu dipindahkan ke lokasi lain.
Tegas Rais, sebagai wakil rakyat kawasan, beliau tidak akan sesekali berdiam diri apabila usaha untuk memajukan golongan peniaga kecil dipolitikkan sehingga seolah-olah mahu ‘menghalau’ atau menutup pintu rezeki peniaga di kawasan itu.
Sebaliknya beliau berkata, semua pihak termasuk Ahli Parlimen perlulah bersama-sama membantu memajukan ekonomi peniaga tempatan.
“Saya sendiri berhempas pulas memikir dan merancang pelbagai inisiatif serta penambahbaikan infrastruktur bagi menjadikan kawasan ini lebih meriah dan menarik pengunjung.
“Tiba-tiba ada pula individu mencadangkan sesuatu yang tidak menguntungkan rakyat Paya Rumput. Sepatutnya, YB MP (Ahli Parlimen) Tangga Batu menjadikan Parlimen Malaysia sebagai platform terbaik untuk membantu peniaga dengan memohon kementerian atau agensi berkaitan untuk memberikan bantuan dana atau geran perniagaan yang bersesuaian.
“Janganlah kita memberi cadangan politik seolah-olah mahu menghalau peniaga-peniaga ini mencari rezeki jauh dari kawasan mereka,” ujar beliau.
Rais bagaimanapun, merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di atas kerjasama dan sokongan dalam memastikan kejayaan projek yang memberi banyak manfaat, khususnya kepada peniaga kecil.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


