Sorting by

×

TRAGEDI SIRAM POKOK, REMAJA DITEMUI LEMAS DALAM KOLAM

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

PAYA RUMPUT 30 Oktober – Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam sedalam 10 kaki di kawasan kebun gaharu di Lorong Gaung Piring 4A, Cheng, di sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Gan Ping Hong, 18, yang beralamat di Taman Merdeka, Batu Berendam, disahkan tidak sedarkan diri dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang individu memaklumkan seorang lelaki terjatuh ke dalam kolam di kawasan berkenaan dan tidak sedarkan diri.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menjalankan tugas menyiram anak pokok gaharu sekitar jam 8.30 pagi semalam sebelum rakan sekerjanya gagal menghubunginya tiga jam kemudian.

“Rakan sekerja kemudiannya pergi mencari mangsa di sekitar kawasan kolam dan menemui mayatnya di dalam kolam berkenaan sebelum memaklumkan kepada pihak polis serta ambulans.

“Tiada unsur jenayah pada tubuh badan mangsa dan mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan pada jam 4 petang mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas di dalam air.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

694
Kongsi :
Previous post WANITA MAUT, ANAK DAN ADIK PARAH MOTOSIKAL DIREMPUH SUV
Next post KAPAL ABAD KE-13 DITEMUI DI PULAU MELAKA?