
WRUR: DIDIK PENDUDUK TAMAN ANGKASA NURI CAKNA KESELAMATAN SIBER
DURIAN TUNGGAL 31 Oktober – Aspek keselamatan siber menjadi fokus utama yang diberi pendedahan kepada penduduk Taman Angkasa Nuri, di sini.
Ia menerusi penganjuran Hari Bersama Komuniti (HBK) Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program berkenaan bukan sahaja berperanan menyampaikan maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan, malah memperluas kefahaman masyarakat terhadap isu jenayah siber.
Menurut beliau, program berkenaan menjadi platform perkongsian ilmu bagi memperkukuh pengetahuan dan kesedaran penduduk terhadap jenayah siber termasuk penipuan digital atau ‘scammer’ yang semakin membimbangkan.
“Kita adakan sesi perkongsian bagi memastikan masyarakat di sini mendapat pendedahan berkaitan keselamatan siber.
“Taman Angkasa Nuri merupakan antara kawasan paling padat penduduk dalam DUN Durian Tunggal, dan ramai dalam kalangan mereka juga berusia, jadi isu keselamatan siber ini amat penting untuk diberi perhatian,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Sapiah Haron serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Exco Angkat Taman Angkasa Nuri berkata, kepadatan penduduk serta kedudukan strategik kawasan itu berhampiran bandar menjadikannya terdedah kepada pelbagai ancaman digital.
“Dalam era digital kini, jenayah siber semakin canggih dan sukar dikesan. Antara yang membimbangkan, sindiket penipuan ini banyak menyasarkan golongan warga emas tanpa mengira mangsa sama ada dari kampung mahupun bandar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


