
PSH, HOSPITAL PERTAMA MELAKA GUNA MAMMOGRAM BERTEKNOLOGI TERKINI
BANDARAYA MELAKA 1 November – Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila menjadi hospital pertama di negeri ini menggunakan mammogram berteknologi terkini dan mampu hasilkan keputusan pemeriksaan dalam tempoh dua jam.
Ketua Pegawai Eksekutif PSH Melaka, Mohd Zahiruddin Ahmad berkata, mammogram berteknologi baharu tersebut bakal memudahkan urusan pemeriksaan payudara sekali gus memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai hab kesihatan serantau berasaskan teknologi terkini.
“Sebelum ini, proses mendapatkan keputusan mamogram boleh mengambil masa satu hingga dua hari bergantung kepada jumlah pesakit dan bacaan imej.
“Kini, dengan sistem digital terkini yang kami gunakan, keputusan awal boleh diperoleh dalam tempoh sekitar dua jam selepas pemeriksaan dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Pink October 2025 anjuran bersama PSH Melaka, GrabCar dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Melaka yang dirasmikan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin di Kopi Cafe Putra, di sini, pada Khamis.
Hadir sama Pengarah LPPKN Negeri Melaka, Suszma Khairitszi Mamat serta lain-lain kenamaan.
Menurut Mohd Zahiruddin, mammogram yang disediakan di hospital itu menggunakan sistem ‘Digital Flat Panel Detector a-Se’ (amorphous selenium) yang menghasilkan imej resolusi tinggi dengan dos X-ray yang jauh lebih rendah, sekali gus memberi kelebihan besar kepada pesakit wanita yang perlu menjalani saringan berkala.
“Selain itu, sistem ini menyokong fungsi 3D Digital Tomosintesis, yang membolehkan imej tisu payudara dilihat dalam lapisan berbeza, membantu doktor mengesan ketulan kecil yang mungkin tidak kelihatan pada imej 2D biasa.
“Orang ramai boleh mendapatkan saringan awal payudara dan sekiranya perlu boleh terus diambil sampel ketumbuhan yang disyaki. Dengan adanya mesin ini, penduduk di negeri ini khususnya tidak perlu lagi pergi jauh bagi melakukan pemeriksaan dan saringan tersebut,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


