Sorting by

×

TECHLYMPICS 2025 HIMPUN 5,000 PESERTA DI MITC

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

DURIAN TUNGGAL 1 November – Lebih 5,000 peserta dari dalam dan luar negara akan menyertai Malaysia Techlympics 2025 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 9 dan 10 November ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, acara peringkat kebangsaan itu merupakan satu penghormatan besar buat Melaka apabila buat julung kalinya dipilih Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai tuan rumah.

“Secara keseluruhan, Techlympics 2025 merekodkan penyertaan seramai kira-kira 1.8 juta peserta dan menariknya Melaka sendiri mencatat penyertaan keseluruhan teramai dengan 509,295 peserta.

“Ia membabitkan penyertaan bukan sahaja dari sekolah rendah dan menengah tetapi juga institusi pengajian tinggi (IPT), malah jumlah itu direkodkan itu mengatasi penyertaan negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program ‘Sembang Santai’ Kesedaran Jenayah Kewangan Bersama Tiktokers Negeri Melaka sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, di Balai Raya Taman Angkasa Nuri, di sini, semalam.

Program itu dihoskan, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil.

Menurut Fairul Nizam, sepanjang dua hari Techlympics 2025 berlangsung dijangka seramai 20,000 pengunjung akan hadir untuk bersama-sama menjayakan acara besar itu.

“Selain pertandingan turut diadakan pelbagai program dan aktiviti antaranya pameran interaktif, demonstrasi teknologi, robotik serta pendedahan tentang bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Justeru itu, ibu bapa diharap dapat mengambil peluang ini untuk membawa anak-anak ke Techlympics 2025 supaya dapat memberi pendedahan dan sekali gus menyemai semangat saintifik serta inovatif dalam kalangan belia berusia tujuh hingga 30 tahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

637
Kongsi :
Previous post WRUR: RAKYAT MELAKA RUGI RM68 JUTA ANGKARA JENAYAH SIBER
Next post PSH, HOSPITAL PERTAMA MELAKA GUNA MAMMOGRAM BERTEKNOLOGI TERKINI