
WRUR DURIAN TUNGGAL BINA KEYAKINAN PELAJAR PPKI
DURIAN TUNGGAL 2 November – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal berjaya membina keyakinan diri buat 30 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Ia menerusi penganjuran Inspire Rebound Intellect Soul (IRIS) X Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)2025 yang berlangsung di Balairaya Kampung Bukit Balai, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil berkata, program itu telah memberi pendedahan khusus kepada pelajar PPKI untuk mengenali potensi diri serta membuka ruang kepada mereka meneroka bidang kemahiran TVET.
“Program PPKI bukan sekadar platform pendidikan, tetapi menjadi jambatan untuk mereka membina keyakinan dan masa depan yang lebih cerah.
“Menerusi program ini, mereka memperoleh sijil kemahiran yang membolehkan mereka melanjutkan pembelajaran dalam bidang TVET, selain berpeluang bekerja atau memulakan perusahaan sendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Penutup IRIS X TVET.
Mengulas lanjut, Zahari memaklumkan program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk Pertandingan Mini Terrarium dan Mini Aquascape yang dianjurkan dengan kerjasama Kolej Komuniti Selandar, Kolej Komuniti Tampin serta Majlis TVET Negeri Melaka.
Katanya, program itu membabitkan penyertaan pelajar PPKI daripada beberapa sekolah sekitar Durian Tunggal antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam dan SMK Hang Kasturi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


