Sorting by

×

PROGRAM ORANG MUDA RANCAK DI MASJID TANAH

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

TANJUNG BIDARA 2 November – Membawa slogan ‘Orang Muda Geng Kita’, Puteri UMNO Masjid Tanah terus komited memastikan agenda pembangunan belia khususnya wanita terus subur di negeri ini.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah Nurul Amirah Mohd Yusof berkata, sepanjang tahun ini pelbagai program telah dirancakkan bagi mendekati golongan muda daripada peringkat pelajar hinggalah ibu muda berusia 40 tahun ke bawah.

Menurutnya, antara program yang dirangka adalah platform berbentuk hobi, misalnya dalam sektor sukan seperti bola jaring yang mendapat sambutan hebat dalam kalangan gadis dan wanita muda.

“Tidak hanya itu, kita juga turut menubuhkan Masjid Tanah Girl Riders, iaitu pasukan bermotosikal yang digerakkan ke kampung-kampung untuk menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Pada masa sama, kita juga merancang untuk menganjurkan program ‘Back To School’ iaitu penyampaian sumbangan persekolahan hujung tahun ini bagi membolehkan kita mendekati segenap lapisan golongan muda di Masjid Tanah, selain manifestasi keprihatinan terhadap masyarakat.

“Jadi, apa sahaja program yang boleh merapatkan silaturahim dan memberi manfaat kepada orang Masjid Tanah, pastinya Puteri Masjid Tanah mahu ke depan dan menjuarai bersama orang muda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kursus Pra Perkahwinan Negeri Melaka Peringkat Parlimen Masjid Tanah yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, semalam.

Nurul Amirah memaklumkan, seramai 600 anak muda dari Parlimen Masjid Tanah telah menerima manfaat daripada Kursus Pra Perkahwinan tersebut yang disediakan secara percuma oleh Kerajaan Negeri.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, sebanyak empat siri kursus berkenaan telah dianjurkan di Parlimen Masjid Tanah iaitu pada bulan April, Jun, Oktober dan terakhir pada November.

/END

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

956
Kongsi :
Previous post ‘CRUISE MADANI’ RANCAKKAN MELAKA BILA LARUT MALAM EDISI NOVEMBER
Next post ‘HEALING ALA BANGSAWAN’, PENGUNJUNG PUAS HATI FASILITI SELESA