
WRUR: EXCO ANGKAT BANTU SELESAI MASALAH SECARA LEBIH MENYELURUH
DURIAN TUNGGAL 3 November – Kelainan yang dibawakan pada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal yang melantik Exco angkat bagi setiap kampung dilihat lebih memberikan impak dan membantu menyelesaikan masalah secara lebih menyeluruh.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Padang Keladi/Pekan Durian Tunggal Ismail Dogol berkata, apabila seorang Exco hanya memfokuskan kepada sebuah kampung sahaja lebih banyak perkara dapat diperincikan.
Katanya, terpilih dibawah Exco angkat, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, banyak perkongsian dan pandangan khususnya berkaitan pelancongan serta warisan di kampung berkenaan dapat disuarakan secara menerusi sesi ‘town hall’.
“Pelaksanaan WRUR DUN Durian Tunggal berbeza daripada DUN sebelum ini apabila memfokuskan setiap kampung dan dilantik seorang Exco angkat untuk itu pendekatan ini bagi saya lebih berfokuskan serta menyeluruh.
“Malah objektif WRUR dapat sampai ke akar umbi apabila komuniti setempat dapat berkumpul bersama-sama menjayakan setiap pengisian program,” katanya.
Ismail ditemui pada Hari Terbuka Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya @ Kampung Padang Keladi sempena Program WRUR DUN Durian Tunggal, di Balai Raya Kampung Padang Keladi, semalam.
Terdahulu, perasmian disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Nasrul Ahmad.
Menurut Ismail, selain pameran daripada agensi terlibat antaranya Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) pelbagai pengisian menarik seperti bengkel tarian zapin, gubahan sirih junjung dan canting batik.
“Sambutan amat menggalakkan apabila melibatkan pelbagai peringkat usia dan kaum yang hadir menjayakan program diadakan.
“Malah untuk Kampung Padang Keladi kita turut melakukan ziarah kasih bersama Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM) dan BPP ke lima buah rumah bagi menyantuni warga emas.
“Kali ini ziarah kasih kita ubah konsep apabila menyantuni mereka yang belum pernah disantuni selalu kami ke rumah asnaf ataupun pesakit terlantar yang memerlukan bantuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


