
WRUR: BULATAN, JALAN SEHALA SELESAIKAN KESESAKAN KAMPUNG PADANG KELADI
DURIAN TUNGGAL 3 November – Keprihatinan terhadap suara rakyat menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil apabila menyelesaikan isu kesesakan di Kampung Padang Keladi, melalui projek penyuraian trafik dengan melaksanakan laluan sehala dan pembinaan bulatan.
Penduduk Kampung Padang Keladi, Saripah Said, 64, berkata, meskipun idea disuarakan oleh Zahari pada awalnya mendapat bantahan segelintir pihak, namun pelaksanaan itu kini memberi keselesaan kepada semua.
Menurutnya, masalah kesesakan di Kampung Padang Keladi dapat diatasi dengan penyelesaian diambil oleh Adun Durian Tunggal.
“Sebagai seorang Yang Berhormat (YB) beliau cuba sehabis baik dalam menyelesaikan isu atau permasalahan dihadapi rakyat, contoh pada awal pelaksanaan bulatan di kawasan ini ada yang bantah tetapi beliau tidak cepat melatah.
“Akhirnya kini dengan adanya bulatan penduduk setempat menarik nafas lega apabila tidak lagi berdepan dengan isu kesesakan selain laluan sehala dilaksanakan juga lebih sistematik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, pemasangan lampu isyarat dari jalan Kampung Padang Keladi ke Jalan Tun Abdul Razak juga antara dilaksanakan Adun Durian Tunggal itu dalam menyelesaikan pemasalahan rakyat.
“Kalau dulu untuk keluar simpang menghala ke Ayer Keroh mengambil masa yang agak lama tetapi kini lebih sistematik dengan adanya lampu isyarat.
“Sebagai rakyat saya dapat lihat YB Zahari amat prihatin dengan permasalahan rakyat cuba menyelesaikan dengan sebaiknya walaupun sesuatu isu itu mengambil masa agak lama,” katanya.
Sementara itu menurut Saripah, pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) merupakan platform terbaik Kerajaan Negeri dalam mendekati rakyat.
“Ini adalah peluang untuk rakyat bersua muka secara terus dengan pemimpin atau barisan Exco dan meluahkan permasalahan atau menyuarakan penambahbaikan.
“Malah program WRUR juga dapat mengeratkan lagi hubungan komuniti setempat apabila pelbagai lapisan masyarakat dan kaum dapat berkumpul bersama-sama serta melibatkan diri dalam program yang dianjurkan,” katanya
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


