
DATA YANG TEPAT MELAHIRKAN DASAR YANG TEPAT – KM
BANDARAYA MELAKA 6 November – Kepentingan penggunaan data yang tepat menjadi asas kepada pembangunan negeri dalam merangka dasar awam serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ketepatan data memainkan peranan besar dalam memastikan setiap keputusan dan perancangan negeri dilaksanakan lebih strategik dan memberi impak terus kepada kesejahteraan rakyat.
“Sebagai negeri bersejarah yang sedang melangkah menjadi negeri moden dengan daya saing digital, Melaka percaya bahawa data yang tepat melahirkan dasar yang tepat dan membawa kesejahteraan kepada rakyat.
“Di Melaka, data bukan hanya angka semata-mata, tetapi kompas yang memandu hala tuju pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan ASEAN-Malaysia Statistical Forum (AMSF) 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib; Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dan kenamaan lain.
Menurutnya, penganjuran AMSF 2025 membuktikan komitmen Melaka untuk menjadi negeri pintar yang digerakkan oleh data serta inovasi.
“Melaka akan sentiasa memperkukuh kerjasama serantau dalam membudayakan penggunaan data inklusif sebagai pemangkin kemajuan ASEAN.
“Terima kasih kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) atas sokongan berterusan dalam memandu keutamaan pembangunan negeri melalui penyediaan indikator dan maklumat tepat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


