Sorting by

×

MELAKA LAMBANG WARISAN KETERHUBUNGAN ASEAN

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 November – Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah ASEAN-Malaysia Statistical Forum (AMSF) 2025 disifatkan signifikan dengan sejarah negeri ini sebagai pusat perdagangan dan pertukaran ilmu sejak berabad lalu.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata kedudukan Melaka sebagai penghubung Timur dan Barat pada masa lalu menjadikan negeri ini simbolik kepada usaha memperkukuh kerjasama data dan inovasi dalam kalangan negara ASEAN hari ini.

“Melaka bukan sekadar lokasi bersejarah. Ia melambangkan warisan keterhubungan rantau ini dan kesinambungan itu diteruskan melalui jaringan data, ilmu serta dasar berasaskan bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan AMSF 2025 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta kenamaan lain.

Forum anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bersama Bank Negara Malaysia dan Institut Statistik Malaysia itu turut disertai Timor-Leste sebagai anggota terbaharu ASEAN, mencerminkan komitmen ke arah sistem data serantau yang lebih inklusif dan seimbang.

Hanifah Hajar berkata, dalam era ekonomi digital, data merupakan modal pembangunan utama dan akses yang adil menjadi kunci dalam merapatkan jurang pembangunan antara negara, kawasan bandar serta luar bandar.

“Terima kasih kepada DOSM kerana melonjakkan kedudukan Malaysia ke tempat pertama dunia dalam Indeks Data Terbuka (ODIN) 2024/25, berbanding tangga ke-67 sebelum ini. Ini membuktikan komitmen terhadap keterbukaan dan ketelusan statistik negara.

“Malaysia juga menunjukkan kemajuan melalui pelaksanaan Banci Pertanian 2024 serta pembangunan papan pemuka interaktif data makanan dan pertanian yang meningkatkan ketercapaian maklumat kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

465
Kongsi :
Previous post MELAKA KOMITED JADI NEGERI BERASASKAN DATA
Next post WRUR: KETUA MENTERI TITIP KATA SEMANGAT UNTUK ADIK NUR AIMI ZUHAIRAH