Sorting by

×

PENEMUAN RANGKA KAPAL PURBA, ARTIFAK BAKAL BINA SEJARAH BAHARU MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDA HILIR 6 November – Naratif sejarah baharu Melaka bakal dibina semula menerusi penemuan artifak-artifak dan rangka kapal purba dipercayai berusia ratusan tahun di kawasan berhampiran Pulau Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penemuan tersebut boleh dijadikan satu bahan bukti bahawa sejarah yang ada ketika ini mungkin telah dipesongkan atau dialih fakta sebenarnya.

Malah, ujar beliau, ia juga dapat memberi gambaran bermakna mengenai sejarah kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka suatu masa dahulu.

Atas faktor itu, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk meneruskan proses ekskavasi dan cari gali di kawasan tersebut bagi membantu kajian mengenai penemuan tersebut.

“Ini dilakukan supaya kita dapat membongkar sejarah sebenarnya dan dapat kita tulis semula kepada generasi akan datang.

“Saya dapat melihat beberapa artifak seperti duit syiling lama era Sultan Mahmud Shah iaitu sultan terakhir di Melaka sebelum kota ini dimusnahkan oleh Portugis.

“Jadi, kita melihat bahawa kesan sejarah ini dapat membantu kita meluruskan sejarah dengan penemuan-penemuan dan fakta baharu, seterusnya merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri membina semula sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak ekskavasi penyelamatan kapal purba Melaka berhampiran Pulau Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Mohd Muda Bahadin; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah serta lain-lain kenamaan.

Tambah Ketua Menteri, Kerajaan Negeri juga bersedia memberikan sokongan dalam sudut peruntukan bagi membantu penerokaan dan ekskavasi yang sedang dijalankan memandangkan nilai penemuan tersebut memberi makna yang cukup besar bukan sahaja kepada Melaka, bahkan negara.

“Pastinya Kerajaan Negeri akan bantu dan pada masa sama, kita juga akan memohon peruntukan daripada Persekutuan untuk membantu dalam sudut peruntukan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

585
Kongsi :
Previous post PESARA KERAJAAN BAKAL NIKMATI MANFAAT PELARASAN PENCEN JANUARI DEPAN
Next post KAWASAN EKSKAVASI PULAU MELAKA DIWARTA KAWASAN LARANGAN