Sorting by

×

WRUR: LEBIH 70 PROJEK INFRASTRUKTUR DILAKSANAKAN DI DURIAN TUNGGAL

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

DURIAN TUNGGAL 7 November – Lebih 70 kerja-kerja infrastruktur telah dilaksanakan sepanjang dua minggu program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal berlangsung.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kesemua kerja-kerja itu dilaksanakan bagi menambah baik kemudahan dan kesejahteraan penduduk di kawasan tersebut.

Menurut beliau, walaupun tidak tular di media sosial namun setiap projek yang dijalankan memberi impak besar kepada kehidupan rakyat.

Mengambil contoh, projek Menaik Taraf Kolam Takungan Banjir Krubong–Durian Tunggal sebagai kolam dwifungsi tebatan banjir dan sumber air Negeri Melaka dengan peruntukan RM529 juta, Ab Rauf berkata, ia menjadi antara usaha bagi memastikan isu banjir di kawasan Durian Tunggal dapat ditangani.

“Isu banjir telah menjadi antara keresahan terbesar warga Durian Tunggal dan sejak setahun lalu atas usaha kerja-kerja baik pulih dan penambahbaikan sistem saliran, tiada lagi banjir besar direkodkan.

“Untuk memastikan keresahan ini benar-benar dinoktahkan, Kerajaan Negeri melaksanakan Projek Menaik Taraf Kolam Takungan Banjir Krubong–Durian Tunggal sebagai kolam dwi-fungsi tebatan banjir dan sumber air negeri Melaka dengan peruntukan RM529 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal di sini malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, selain banjir, masalah gangguan bekalan air turut menjadi cabaran yang kerap menjejaskan kehidupan rakyat.

Justeru itu, kata beliau, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) telah melakukan kerja penggantian paip lama di Jalan Solok Semut dengan kos RM279,000 bagi menjamin kestabilan bekalan air kepada penduduk.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

532
Kongsi :
Previous post WRUR: 9 SIRI, 71 PERATUS ADUAN RAKYAT DISELESAIKAN
Next post WRUR: KAMPUNG GANGSA BAKAL MILIKI MASJID BAHARU