Sorting by

×

JATI DIRI MELAYU-ISLAM PERLU DIHIDUPKAN SEMULA

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 8 November – Tamadun Melayu-Islam mempunyai asas kekuatan yang terbina berabad lamanya dan perlu kembali difahami melalui ilmu, adab serta jati diri budaya agar tidak terus terpinggir.

Pengerusi Biro Penyelidikan dan Tugas Khas Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Prof. Dr. Huzaifah Hashim berkata, sejarah membuktikan alam Melayu pernah menjadi antara nadi jaringan dunia Islam global melalui perdagangan, hubungan intelektual serta perkembangan ilmu yang merentasi rantau Nusantara hingga ke Timur Tengah.

Menurutnya, warisan ilmu itu bukan sahaja tersimpan dalam manuskrip dan karya ulama pesisir di Aceh, Patani, Melaka, Palembang dan Riau-Lingga, tetapi membentuk peradaban yang kaya dalam bahasa, tasawuf, falsafah, undang-undang dan seni kehidupan masyarakat Melayu.

“Namun hari ini, sebahagian besar warisan ini tidak diangkat dalam wacana semasa. Ia tidak boleh dibiarkan sekadar menjadi cerita lama atau romantisme sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Peradaban Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) 2025 yang dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah JKKN Melaka Ezlina Elias dan Naib Pengerusi DMDI Prof. Datuk Wira Dr. Mohd Jamil Mukmin.

Jelasnya, kebangkitan tamadun menuntut tiga asas utama iaitu ilmu yang benar dan tersusun, adab serta akhlak sebagai landasan tindakan dan kekuatan budaya yang dizahirkan melalui bahasa, seni, busana serta kesenian tradisi.

“Penghayatan budaya bukan sekadar hiburan tetapi berfungsi membina komuniti, maruah dan keyakinan jati diri anak bangsa.

“Justeru ia perlu disampaikan kepada generasi muda secara hidup, bukan hanya melalui simbol atau bacaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

712
Kongsi :
Previous post PERSIDANGAN HIMPUN PAKAR DALAM DAN LUAR NEGARA PERKUKUH BUKTI PENEMUAN KAPAL PURBA
Next post BENANG KAIT TERAPI HIDUP NORHATINI