Sorting by

×

WRUR: PENANTIAN MASJID KAMPUNG GANGSA BERAKHIR

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

DURIAN TUNGGAL 8 November – Masjid baharu Kampung Gangsa bakal menelan kos keseluruhan RM12 juta sekali gus menamatkan penantian penduduk kampung terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil berkata, hasrat penduduk kampung terbabit memiliki masjid baharu itu bakal menjadi kenyataan selepas kelulusan diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Katanya, Kerajaan Negeri akan menanggung 20 peratus daripada jumlah kos berkenaan sebagai tanda keprihatinan terhadap keperluan penduduk setempat.

“Penduduk di Kampung Gangsa sudah lama menunggu masjid baharu ini.

“Kawasan sekitar Kampung Gangsa ini memang padat dengan taman-taman perumahan dan masjid lama tidak lagi mampu menampung jemaah terutama ketika solat Jumaat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal yang disempurnakan Ketua Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Zahari merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri kerana prihatin terhadap pembangunan komuniti Islam di kawasan berkenaan.

Terdahulu, Ab Rauf dalam ucapannya mengumumkan kelulusan pembinaan masjid baharu di Kampung Gangsa selepas Kerajaan Negeri mengemukakan permohonan peruntukan khas kepada Kerajaan Persekutuan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Melaka.

Katanya, Kerajaan Negeri komited menanggung 20 peratus kos pembinaan masjid baharu itu, manakala 10 peratus lagi menerusi tabung wakaf masjid berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

547
Kongsi :
Previous post NOURUL AUNA, PERMATA MELAKA DI BUMI ANBIYA
Next post PERSIDANGAN HIMPUN PAKAR DALAM DAN LUAR NEGARA PERKUKUH BUKTI PENEMUAN KAPAL PURBA