
SWCORP, MBMB KOMITED KURANGKAN PENGGUNAAN PLASTIK DI MELAKA
AYER KEROH 8 November – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terus komited memperkukuhkan usaha pengurangan penggunaan plastik sekali guna dalam kalangan masyarakat menerusi pelancaran Kempen ‘Jangan Gunalah: Free Plastic, Bermula Dari Saya’.
Pengerusi SWCorp Malaysia, Hee Loy Sian berkata, kempen tersebut bertujuan memupuk kesedaran rakyat Malaysia, khususnya di Negeri Melaka agar lebih bijak menggunakan bahan plastik dan demi kelestarian alam sekitar.
“Kita ingin menghentikan budaya ‘pakai buang’ dan menggantikannya dengan budaya ‘guna semula’. Ini mungkin langkah kecil, tetapi impaknya besar kepada bumi yang kita kongsi bersama.
“Jangan guna beg plastik, botol plastik dan penyedut minuman plastik. Sebaliknya, beralihlah kepada beg guna semula menyumbang kepada masa depan bumi yang lebih bersih dan sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen “Jangan Gunalah: Free Plastic, Bermula Dari Saya” di Dataran MBMB, di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Ahli Lembaga Amanah Tekun Nasional, Datuk Halim Bachik; Pengarah SWCorp Negeri Melaka, Nor Zaki Md Nor; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Menurut Loy Sian, kempen itu turut menyeru masyarakat untuk memperkukuh budaya kitar semula ke arah pembentukan komuniti sifar sisa dan merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia bebas plastik sekali guna menjelang 2030.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


