Sorting by

×

PANDU PUTERI MELAKA JADI MODEL TADBIR URUS CEMERLANG

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 November – Negeri Melaka terus menjadi contoh cemerlang dalam pembangunan kepimpinan wanita muda apabila Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Melaka diiktiraf sebagai model tadbir urus dan pelaksanaan program berimpak tinggi.

Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, sepanjang 100 tahun kewujudannya, PPPM Cawangan Melaka kekal utuh.

Katanya, PPPM Cawangan Melaka terus menabur bakti membentuk ribuan wanita muda yang berdisiplin, berilmu dan berjiwa besar untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Melaka bukan sahaja mengekalkan warisan dan legasi Pandu Puteri, tetapi juga menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam melaksanakan program berimpak tinggi serta membentuk kepimpinan wanita muda yang berkualiti.

“Nilai teras Pandu Puteri seperti kejujuran, amanah, sedia membantu, berbudi bahasa dan suci fikiran, mesti terus menjadi pegangan, walaupun dunia kini berubah pantas dengan cabaran moden seperti kesihatan mental, maklumat palsu dan perubahan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Centennial Hi-Tea Sempena Sambutan 100 Tahun Pandu Puteri Melaka, di sebuah hotel, di sini, semalam.

Majlis bersejarah itu turut diserikan dengan kehadiran isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka yang juga Penaung PPPM Cawangan Melaka Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Hadir sama, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Yeoh Soo Keng; Yang Dipertua PPPM Melaka, Datin Wira Ts. Nurazlina Md Sanusi serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Dr. Wan Azizah turut menekankan bahawa Pandu Puteri kini bukan sekadar aktiviti kokurikulum, tetapi platform penting pembangunan sahsiah dan kepimpinan wanita muda ke peringkat global.

“Kaedah boleh diubah suai, tetapi prinsip tidak boleh dikompromi. Dunia hari ini amat memerlukan individu yang berintegriti, berdisiplin dan berihsan terhadap orang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

989
Kongsi :
Previous post SEL BAHARU BERI ‘NYAWA’ UNTUK TAPAK PELUPUSAN SUNGAI UDANG
Next post MPHTJ SEDIA KEMUDAHAN REKREASI UNTUK TAMAN ANGKASA NURI