Sorting by

×

MELAKA RANGKUL JUARA KEJOHANAN SEPAKTAKRAW PIALA TUN ALI 2025

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

DUYONG 9 November – Penantian skuad sepak takraw Melaka berakhir selepas dinobatkan sebagai juara regu lelaki Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2025 Edisi Ke-4.

Pasukan Melaka menewaskan Kedah 2-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit, di sini, hari ini.

Aksi mantap gandingan killer kebangsaan, Mohamad Azlan Alias bersama tekong import dari Thailand, Pongsatorn Phong-Udtha dan Muhammad Zaim Razali (apit kiri) memastikan Melaka menang selesa dengan keputusan 17-14 dan 15-12 dalam masa 53 minit.

Bagaimanapun, Kedah yang dibarisi tekong Muhammad Amar Roslan, perejam Thailand Leosak Kuram dan pengumpan Muhammad Zulhusni Basri tetap memberikan tentangan sengit kepada pasukan tuan rumah.

Kejayaan kali ini sekali gus menebus kekecewaan Melaka dalam tiga edisi terdahulu termasuk muncul naib juara pada 2022, sebelum akhirnya berjaya meraih gelaran pertama selaku tuan rumah tahun ini.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Dengan kemenangan itu, Melaka membawa pulang wang tunai RM15,000 berserta trofi kejuaraan, manakala Kedah selaku naib juara menerima RM10,000 dan piala.

Pasukan Negeri Sembilan dan Selangor yang terkandas di separuh akhir masing-masing menerima RM5,000.

Melaka turut cemerlang dalam kategori individu apabila Pongsatorn Phong-Udtha diumumkan sebagai Tekong Terbaik dan Mohd Azlan Alias menerima anugerah Apit Kanan Terbaik, manakala Zulhusni Basri dari Kedah dinobatkan sebagai Apit Kiri Terbaik yang mana setiap pemenang anugerah individu menerima wang tunai RM500.

Dalam acara kuadran yang pertama kali dipertandingkan menyaksikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul juara menewaskan Perak 2-0 melalui kemenangan 17-16 dan 15-9 dalam acara akhir.

ATM menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan piala manakala Perak pula membawa pulang RM8,000 serta dua pasukan tewas di separuh akhir MSSM-KPM dan Terengganu menerima RM4,000.

Terdahulu dalam acara akhir regu wanita akhir Polis Diraja Malaysia (PDRM) mudah menewaskan Sabah 2-0 menerusi kemenangan 15-9 dan 15-9.

Kemenangan itu membolehkan PDRM menerima hadiah wang tunai RM5,000 serta piala manakala Sabah mendapat RM3,000 manakala dua pasukan tewas di separuh akhir Selangor dan Perak masing-masing menerima RM1,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

552
Kongsi :
Previous post BOT BAWA HAMPIR 100 PATI KARAM, ENAM DITEMUKAN SELAMAT DI LANGKAWI
Next post DEBARAN CMIEA 2025, PENTAS IKTIRAF INDUSTRI MELAKA KIAN TERASA