
PASUKAN SEPAK TAKRAW MELAKA MENANG BERGAYA JULANG PIALA TUN ALI 2025 – EXCO
DUYONG 9 November – Pencapaian Melaka muncul juara Kategori Regu Lelaki Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2025 Edisi Ke-4 menjulang nama negeri sebagai kuasa besar baharu arena sepak takraw tanah air.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata kejayaan itu merupakan hasil komitmen dan kerja keras pasukan yang dibarisi pemain muda berbakat.
Katanya, beliau menyifatkan perlawanan akhir menyaksikan pertemuan antara Melaka dengan Kedah sebagai sengit dan mendebarkan.
“Tahniah kepada pasukan sepak takraw Melaka atas kemenangan bergaya di gelanggang Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2025 Edisi Ke-4 selepas berjaya membenam Kedah 2-0.
“Kejayaan ini membuktikan usaha gigih, semangat juang tinggi dan sokongan padu pelbagai pihak membuahkan hasil
“Kemenangan ini menjadi bukti bahawa Melaka berada di landasan tepat dalam melahirkan bakat baharu dan memperkukuh kedudukan sukan sepak takraw di peringkat kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2025 Edisi Ke-4 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit, di sini hari ini.
Hadiah kemenangan telah disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Shanmugam turut menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh barisan pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan atas kejayaan membanggakan itu.
“Saya berbangga dengan pencapaian ini kerana ia mengharumkan nama Melaka. Ia juga hasil kerjasama erat antara Majlis Sukan Negeri, PASTAM dan barisan kejurulatihan,” ujarnya.
“Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada barisan pemain untuk terus mengekalkan momentum dan mempertahankan kejuaraan bagi edisi akan datang.
“Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan padu dari segi latihan, kemudahan dan pembangunan bakat baharu supaya Melaka kekal menjadi antara negeri terbaik dalam sukan sepak takraw khususnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


