
PIALA TUN ALI ANGKAT MARTABAT SEPAK TAKRAW MELAKA
DUYONG 9 November – Persatuan Sepaktakraw Negeri Melaka akan mengadakan sesi post-mortem bersama jawatankuasa pelaksana bagi menilai pencapaian pasukan negeri selepas menjuarai Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2025 Edisi Ke-4.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, langkah itu penting untuk memastikan kejayaan itu tidak sekadar bersifat sementara.
Katanya, post-mortem itu akan menjadi pemangkin kepada usaha mengekalkan kejuaraan pada edisi kelima dan seterusnya.
“Kami akan membuat post-mortem bersama jawatankuasa. saya percaya kita mampu mengekalkan prestasi pemain untuk kejohanan akan datang.
“Penganjuran Kejohanan Piala Tun Ali menjadi platform penting dalam menaikkan martabat sukan sepak takraw Melaka yang kini semakin menyerlah di peringkat kebangsaan.
“Ini pengalaman kali ketiga kita. Insya-Allah kita akan terus berusaha mengangkat martabat sepak takraw di bumi Melaka yang bertuah ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perlawanan akhir Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2025 Edisi Ke-4 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit, di sini, hari ini.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Akramuddin berkata PASTAM turut menyasarkan untuk menyertai lebih banyak acara pada tahun hadapan, termasuk kategori wanita dan kuadran.
“Kita tidak mahu fokus kepada satu acara sahaja. Tahun depan kita akan cuba semua termasuklah regu lelaki, regu wanita dan kuadran.
“Kali ini kita gagal di kuadran, tapi InsyaAllah tahun hadapan kita akan bangkit semula,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


