
43,791 PESAKIT DIABETES MELAKA MASIH AKTIF TERIMA RAWATAN
BANDA HILIR 9 November – Melaka merekodkan 123,468 pesakit diabetes bagi tempoh 2015 hingga November 2025, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara penghidap penyakit tidak berjangkit itu di negeri ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 43,791 pesakit kini masih aktif menerima rawatan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan serta swasta seluruh negeri.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, perkembangan itu sewajarnya diberi perhatian memandangkan diabetes berpotensi menyebabkan komplikasi serius jika tidak dikawal.
“Kita menyeru penduduk di negeri ini supaya menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Jabatan Kesihatan Negeri Melaka akan terus komited memperluas saringan melalui ‘National Health Screening Initiative’ bagi mengesan penyakit tidak berjangkit dengan lebih awal.
“Apabila dikesan awal, rawatan dapat dimulakan segera dan komplikasi seperti kebutaan, ulser kaki diabetik dan kerosakan buah pinggang dapat dicegah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan mereka yang berisiko tinggi untuk menjaga pemakanan dan melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.
“Bagi pesakit yang telah didiagnosis, mereka diingatkan agar mematuhi pengambilan ubat dan rawatan seperti ditetapkan doktor bagi memastikan paras gula kekal terkawal,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


