
KESEDARAN SARINGAN KESIHATAN SEMAKIN MENINGKAT DI MELAKA
BANDA HILIR 10 November – Kesedaran masyarakat Melaka terhadap kepentingan pemeriksaan kesihatan menunjukkan peningkatan apabila 76 peratus penduduk berumur 18 tahun ke atas telah menjalani saringan kesihatan tahun ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa berkata, walaupun perkembangan itu positif usaha meningkatkan kesedaran perlu diteruskan kerana Melaka masih mencatat kadar pesakit diabetes yang tinggi.
“Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Mobiliti Kebangsaan 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Melaka berada di kedudukan kedua tertinggi bagi bilangan pesakit diabetes secara keseluruhan iaitu 20.5 peratus.
“Walaupun kesedaran semakin baik kerana ramai yang tampil menjalani saringan, angka diabetes di negeri ini masih tinggi.
“Ini menunjukkan kesedaran perlu dipertingkat, bukan sahaja dengan datang menjalani pemeriksaan tetapi juga mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 yang dirasmikan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem di sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam.
Menurutnya, setakat ini seramai 52,526 orang telah menjalani saringan daripada sasaran 68,870 orang.
“Mengikut pecahan daerah Alor Gajah mencatat kadar saringan tertinggi iaitu 83 peratus (14,663 orang), diikuti Jasin 75 peratus (7,449 orang) dan Melaka Tengah 70 peratus (36,167 orang).
“Program saringan ini dijalankan di klinik kesihatan serta di lapangan secara percuma dan kita turun ke komuniti kerana mahu lebih ramai tampil sebelum mempunyai simptom,” katanya.
Menurut Dr. Ruzita, had umur saringan telah diturunkan kepada 18 tahun ke atas selepas data menunjukkan penyakit seperti diabetes dan hipertensi turut dikesan dalam kalangan golongan mud
“Diabetes terbahagi kepada jenis 1 dan jenis 2. Diabetes jenis 1 yang berkaitan faktor genetik boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak seawal usia tujuh hingga lapan tahun,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


