Sorting by

×

LEPASI SASARAN KE SEPARUH AKHIR , KEMENANGAN IBARAT BONUS – AZLAN ALIAS

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

DUYONG 10 November – Pasukan sepak takraw Melaka mengejutkan ramai apabila berjaya menempah slot ke perlawanan akhir seterusnya meraih kejuaraan Kategori Regu Lelaki Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2025 Edisi ke-4.

Pemain Apit Kanan Pasukan Melaka, Mohamad Azlan Alias berkata sasaran awal pasukan pada awalnya hanyalah mencapai ke separuh akhir.

Beliau yang juga perejam skuad kebangsaan berkata pencapaian melepasi separuh akhir, mara ke final sekaligus membenam pasukan lawan dan membolot kejuaraan ibarat bonus, menggembirakan seluruh pasukan dan rakyat negeri Melaka.

“Sebenarnya, sasaran awal kami memang ke separuh akhir. Lepas itu, dapat ke final. Alhamdulillah, rezeki lagi, menang lagi, lagi meriah dan seronok untuk rakyat Melaka.

“Ini kali pertama saya masuk regu selepas empat tahun menyertai pasukan Melaka. Syukur dengan rezeki kemenangan bersama rakan sepasukan, kami dapat menjulang nama Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Kejohanaan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2025 Edisi ke-4 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit, di sini, semalam.

Hadiah kemenangan telah disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Mohamad Azlan turut memaklumkan bahawa kemenangan di Piala Tun Ali 2025 itu sebagai pembakar semangatnya yang sedang membuat persiapan ke Sukan SEA di Thailand, Disember depan.

Jelasnya, kemenangan itu menjadi pembakar semangat buat Melaka untuk melahirkan pelapis dalam sukan sepak takraw.

“Persiapan untuk Sukan SEA berjalan lancar dan kemenangan ini menjadi penyuntik semangat untuk mengharumkan nama Malaysia pula.

“Kejayaan Piala Tun Ali 2025 ini dilihat sebagai satu platform penting untuk melahirkan pemain berbakat serta mempersiapkan mereka bagi mewakili negara di peringkat antarabangsa, sambil terus mengangkat nama Melaka di persada sukan sepak takraw tanah air,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

477
Kongsi :
Previous post MPJ RAIH PENGIKTIRAFAN ATAS KEPIMPINAN CEMERLANG
Next post KESEDARAN SARINGAN KESIHATAN SEMAKIN MENINGKAT DI MELAKA