Sorting by

×

MALAYSIA TECHLYMPICS: DESA PERMATANG TUAH PERKUKUH KONSEP KAMPUNG DIGITAL 

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 10 November – Desa Permatang Tuah (DePT) direka sekumpulan murid Sekolah Kebangsaan Batu Berendam 2 (SKBB2) menjadi antara 50 model inovasi mengambil bahagian dalam Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Akhir Kebangsaan bermula semalam.

Mengangkat Tema Rekaan Kampung Angkat Berteknologi Tinggi (HI-TECH), DePT antara lima rekaan hasil inovasi lima sekolah di Melaka yang terpilih ke peringkat akhir Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Akhir Kebangsaan.

Guru Pembimbing SKBB2, Mardhiah Ismail berkata, menerusi pertandingan itu sekolahnya memilih pelbagai inovasi berteknologi tinggi digunakan bagi memperkukuh konsep Kampung Digital yang lestari.

Katanya, penyertaan itu memberi pendedahan kepada murid sekolah luar bandar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang semakin penting masa kini.

“Antara inovasi yang diperkenalkan termasuk Sistem Bencana Pintar, Sistem Keselamatan Komuniti, IoT Penternakan Pintar, Pengangkutan Awam Solar dan Elektrik serta pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini dalam tinjauan pertandingan yang diadakan di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mardhiah berkata, rekaan DePT menggunakan komponen Mikro Pengawal Arduino sebagai tunjang utama.

Lebih menarik, konsep ‘Zero Emission’ turut diterapkan dalam projek berkenaan, menjadikannya bebas daripada pencemaran dan bergantung sepenuhnya kepada tenaga elektrik.

“Kediaman contoh kami berasaskan reka bentuk rumah Melaka, lengkap dengan pelbagai sensor keselamatan komuniti. Sensor tersebut dapat mengesan pergerakan di kawasan tertentu bagi meningkatkan tahap keselamatan penduduk.

“Perkampungan ini kami anggap simbol kepada perubahan, bagaimana komuniti desa juga boleh bergerak seiring dengan arus teknologi. Menang atau kalah bukan ukuran yang penting pengalaman dan semangat untuk terus belajar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

480
Kongsi :
Previous post KESEDARAN SARINGAN KESIHATAN SEMAKIN MENINGKAT DI MELAKA
Next post MAIM CERIAKAN PESAKIT KANSER HATI