
SK PAYA RUMPUT BAKAL TERIMA BANGUNAN BAHARU
PAYA RUMPUT 10 November – Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput dijangka menerima peruntukan berjumlah RM26 juta bagi pembinaan bangunan baharu dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata pembinaan baharu itu bagi menampung peningkatan jumlah murid.
Katanya, peruntukan berkenaan telah dimasukkan dalam senarai cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan sedang menunggu pengumuman rasmi.
“Pembinaan baharu ini melibatkan penambahan enam bilik darjah serta beberapa kemudahan lain bagi menampung pertambahan murid di kawasan berpenduduk padat.
“Alhamdulillah, kita sekarang ini sedang menunggu keputusan akhir daripada pihak kementerian dan difahamkan projek ini telah dimasukkan dalam pengumuman baru-baru ini.
“Kita harap ada berita gembira buat warga Paya Rumput kerana tanah bagi projek ini juga telah dikenal pasti dan disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Cilik Tenaga Bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB): Tenaga Hari Ini, Menjana Hari Esok di SK Paya Rumput, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Retail TNB Retail, Datuk Kamal Arifin Kamal dan Pegawai Pendidikan Daerah Melaka Tengah, Yusri Seman.
Dalam majlis sama, TNB turut menyerahkan sumbangan RM15,000 kepada tiga sekolah dalam zon Paya Rumput iaitu SK Paya Rumput, SK Cheng dan SK Krubong bagi pelaksanaan Program Smart TV di bawah inisiatif KPM untuk memperkukuh pembelajaran digital.
Selain itu, TNB turut menyumbangkan 150 tiket lawatan ke Pusat Sains Negara kepada murid sekolah berkenaan sebagai galakan dalam bidang sains dan teknologi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


