Sorting by

×

KERAJAAN NEGERI PERUNTUK LEBIH RM200,000 UNTUK ANUGERAH SUKAN, INSENTIF ATLET

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 November – Sejumlah RM213,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi Anugerah Sukan Negeri Melaka termasuk pemberian insentif kepada atlet.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri amat menghargai semangat, kesungguhan, penat lelah, pengorbanan dan usaha gigih jaguh sukan Melaka yang sentiasa menjadi kebanggaan.

“Sebagai tanda penghargaan buat insan-insan hebat telah berjuang baik di pentas dunia, Sukan Malaysia (SUKMA) hinggalah sukan remaja Asia, Kerajaan Negeri berbesar hati memperuntukkan sebanyak RM213,000 bagi lapan Anugerah Sukan Negeri Melaka termasuk hadiah insentif kemenangan atlet.

“Secara peribadi, saya menzahirkan penuh bangga melihat anak-anak Melaka terus cemerlang di pentas kejohanan sehingga menghasilkan kejayaan luar biasa. Antaranya pencapaian Toh Ee Wei, regu campuran negara yang menjuarai gelaran sulung pada Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025 di Paris, Perancis.

“Malah pencapaian sukan wushu di Kejohanan Wushu Dunia, Brazilia cukup membanggakan apabila tiga atlet Melaka berjaya meraih empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa selain diikuti pencapaian silat olahraga apabila Muhammad Raqib Darwisy Muhammad berjaya meraih gangsa di Temasya Sukan Remaja Asia 2025 di Bahrain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-39 Bagi Tahun 2023/2024 yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di sebuah hotel di Lorong Bendahara, hari ini.

Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP Shanmugam, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal.

Menurut Ab Rauf, sepanjang 2023 dan 2024 pencapaian sukan negeri Melaka menunjukkan momentum positif dengan mencatatkan lebih 794 atlet aktif dalam Program Pembangunan Pelapis Negeri, Bakat dan Bakat Olimpik dibawah MSN Melaka.

“Malah kutipan pingat pada temasya SUKMA turut melonjak 37.3 peratus dengan peningkatan 51 pingat pada SUKMA 2022 kepada 70 pingat pada SUKMA 2024.

“Selain itu juga, beberapa sukan seperti wushu, silat, berbasikal termasuk badminton di peringkat Olimpik turut disertai oleh anak watan Melaka dan telah mengharumkan nama Melaka dengan pencapaian membanggakan, sekali gus menandakan usaha kita berada pada landasan yang tepat,” katanya.

Terdahulu Anugerah Sukan Negeri Melaka Kali Ke-39 menyaksikan pemain badminton beregu lelaki negara Aaron Chia, sekali lagi dinobatkan sebagai Olahragawan manakala Olahragawati Melaka 2023/2024 milik atlet wushu Tan Cheong Min.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

364
Kongsi :
Previous post SK PAYA RUMPUT BAKAL TERIMA BANGUNAN BAHARU
Next post AARON CHIA, CHEONG MIN DINOBAT OLAHRAGAWAN, OLAHRAGAWATI MELAKA