
AARON CHIA, CHEONG MIN DINOBAT OLAHRAGAWAN, OLAHRAGAWATI MELAKA
BANDARAYA MELAKA 10 November – Pemain badminton beregu lelaki negara, Aaron Chia Teng Fong dan atlet wushu, Tan Cheong Min, dinobatkan sebagai Olahragawan serta Olahragawati Melaka 2023/2024 sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-39.
Aaron, 28, menewaskan tiga lagi atlet iaitu, Muhammad Hafidzul Ain, 21, (olahraga); Muhammad Danial Azrol Noorazizan, 23, dan Muhammad Danial Azray Noorazizan, 23, (pencak silat) serta Bryan Ti Kai Jie, 21, (wushu).
Pasangan regu kepada Soh Wooi Yik, itu dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan susulan pencapaian dan kejayaan di peringkat antarabangsa termasuk memenangi gangsa pada Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark diikuti pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 serta berada di kedudukan naib johan pada Kejohanan Seluruh England, 2024.
Sementara itu, Cheong Min, 27, pula dipilih sebagai Olahragawati menerusi pencapaian apabila memenangi dua emas pada Temasya Sukan Sea Ke-32 Kemboja; pingat perak di Sukan Asia Ke-19, di Hangzhou, China serta masing-masing satu perak dan emas pada IWUF The 3rd Taolu World Cup 2024.
Kedua-dua penerima anugerah tertinggi itu menerima piala pusingan, wang tunai RM3,000 dan trofi iringan yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam sambil diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada majlis berlangsung di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP Shanmugam; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal.
Pada majlis sama, Ketua Menteri dinobatkan sebagai Ikon Tokoh Lestari Sukan Negeri Melaka.
Olahrawan Harapan Melaka 2023/2024 milik atlet wushu Lee Ronn, 14, manakala atlet angkat berat wanita, Nurul Syasya Khairina Samsur, 16, sekali lagi dipilih sebagai Olahragawati Harapan Melaka 2023/2024.
Sebanyak lapan kategori Anugerah Sukan Negeri Melaka telah disenaraikan oleh MSN Negeri Melaka bagi menghargai pencapaian penggiat sukan termasuk Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik 2023/2024 yang dirangkul Pasukan Bola Sepak Lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


