
KETUA MENTERI DIANGKAT SEBAGAI TOKOH LESTARI SUKAN NEGERI MELAKA
BANDARAYA MELAKA 10 November – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh diangkat sebagai Ikon Tokoh Lestari Sukan Negeri Melaka sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-39 Bagi Tahun 2023/2024.
Terdahulu, anugerah itu disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP Shanmugam berkata, anugerah itu diberikan atas peranan aktif Ketua Menteri dalam mengembalikan semangat kesukanan di Melaka sejak menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri.
“Jika tahun lalu dianugerahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan kali ini pengiktarafan tersebut diberikan kepada Ketua Menteri sebagai tanda penghargaan terhadap usaha beliau memacu pembangunan sukan menyeluruh di Melaka.
“Selepas mengambil alih kepimpinan, pelbagai program sukan dianjurkan seluruh negeri, termasuk peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), kejohanan melibatkan badan beruniform serta penganjuran semula temasya Sukan SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri).
“Inisiatif Ketua Menteri turut melibatkan pemerkasaan dan mengangkat semula sukan tradisional seperti konda-kondi, dam aji dan pelbagai permainan rakyat lain yang kini kembali mendapat tempat dalam kalangan orang Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-39 Bagi Tahun 2023/2024, yang berlangsung di sebuah hotel, di Lorong Bendahara, hari ini.
Hadir sama barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal.
Menurut Shanmugam, pendekatan yang dibawa Ketua Menteri secara tidak langsung menunjukkan semangat kesukanan yang sebenar dengan menekankan aspek ‘sportsmanship’ serta perpaduan masyarakat.
“Pemilihan ini juga amat kena dengan Ketua Menteri, kerana beliau bukan sekadar seorang pemimpin tetapi penggiat sukan suatu ketika dahulu. Pengalaman itu menjadikan Ketua Menteri lebih memahami keperluan atlet dan masyarakat dalam memperkukuhkan budaya sukan di negeri ini.
“Kepimpinan Ketua Menteri yang berfikiran di luar kotak turut menjadi cabaran dan inspirasi kepada MSNM selain beliau turut meminta agar diadakan Kejohanan Sukan khusus untuk anak-anak istimewa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


