Sorting by

×

KONTINJEN MELAKA DIIKTIRAF PALING RAMAI SERTAI MALAYSIA TECHLYMPICS 2025 – KM

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 10 November – Seramai 509,000 wakil Melaka mengambil bahagian pada Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Akhir Kebangsaan, sekali gus diiktiraf kontinjen paling ramai menyertai pertandingan itu berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang berakhir hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu menunjukkan kesungguhan Melaka dalam melahirkan generasi muda dekat dengan bidang teknologi dan inovasi.

“Malaysia Techlympics bukan sekadar pertandingan tetapi platform bagi membentuk minat anak-anak dalam teknologi agar mereka boleh meneroka, mencipta dan berkarya merentas generasi.

“Walaupun minat untuk terus berkarya sedikit menurun tahun ini, asas itu telah kita tanam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Akhir Kebangsaan di MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata program itu turut menarik penyertaan dan pengunjung dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Kemboja dan China.

“Kerajaan Negeri memberi tumpuan berterusan kepada pembangunan bakat melalui bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memperkukuh daya saing negeri dalam landskap teknologi masa depan.

“Terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kerana memilih Melaka sebagai tuan rumah acara berprestij ini, ini satu kebanggaan kepada negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

477
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI DIANGKAT SEBAGAI TOKOH LESTARI SUKAN NEGERI MELAKA
Next post MALAYSIA TECHLYMPICS 2025 TARIK 1.8 JUTA PENYERTAAN SELURUH NEGARA, RAKAN SERANTAU