Sorting by

×

TANAMAN NANAS DI MELAKA MENINGKAT 143 PERATUS, TERTINGGI DALAM NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BUKIT KATIL 11 November – Melaka muncul sebagai negeri merekodkan peningkatan tertinggi tanaman nanas di Malaysia dalam tempoh lima tahun.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia membabitkan peningkatan 143 peratus, sekali gus menjadi peningkatan tertinggi dalam negara.

Jelas beliau, ia juga menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan sangat serius untuk membangunkan industri tanaman nanas ini kerana ia boleh dimajukan dan membawa kebaikan kepada rakyat.

“Ketika ini, nanas bukan hanya menuai buah sahaja, malah kita juga boleh menuai sulur untuk dijadikan benang, selain sisanya pula dijadikan makanan haiwan ternakan.

“Ini bermakna tanaman nanas ini tidak merugikan, malah permintaan dari dalam dan luar negara semakin meningkat sehinggakan hasil yang ada sekarang tidak mampu menampung permintaan pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Program Pemindahan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Negeri Melaka 2025 di Bayou Lagoon Park Resort, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Mohd Khairuzamri M. Salleh dan Pengarah LPNM Negeri Sembilan / Melaka Siti Hajar Ramlee.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri terus komited mengembangkan lagi tanaman nanas, termasuklah memperkasanya dalam sektor agropelancongan.

“Kita telah membangunkan pelbagai industri di Melaka dan insya-Allah, antara keutamaan kita adalah untuk menunjukkan bagaimana Melaka boleh menjadikan tanaman nanas ini sebagai satu tarikan pelancongan di negeri bersejarah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

520
Kongsi :
Previous post MTL: BOMBA MELAKA KENAL PASTI 106 LOKASI DI MELAKA BERISIKO BANJIR
Next post EMPAT FOKUS JADIKAN MELAKA NEGERI PINTAR BERPACUKAN DATA