Sorting by

×

MELAKA BUKA PELUANG RAKYAT USAHAKAN TANAH TERBIAR UNTUK TANAMAN NANAS

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BUKIT KATIL 11 November – Rakyat Melaka boleh memohon mana-mana tanah kerajaan yang terbiar di negeri ini untuk mengusahakan pelbagai jenis tanaman, termasuk nanas yang kini semakin mendapat permintaan tinggi.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya sedia membantu pengusaha yang berminat untuk mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) di tanah tersebut dengan kadar sewaan rendah bagi tempoh tiga tahun.

Jelas beliau, mereka yang berminat boleh membuat permohonan kepada Jabatan Pertanian Negeri Melaka atau Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) sebelum tanah tersebut boleh diusahakan.

“Ini kita lakukan dalam memastikan tanah-tanah kerajaan ini tidak hanya terbiar begitu sahaja dan lebih baik ia diusahakan supaya manfaatnya dapat bukan sahaja kepada kerajaan, tetapi juga rakyat di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Program Pemindahan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Negeri Melaka 2025 yang disertai 100 peserta di Bayou Lagoon Park Resort, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M. Salleh dan Pengarah LPNM Negeri Sembilan / Melaka Siti Hajar Ramlee.

Dalam pada itu, Dr, Muhamad Akmal memaklumkan, untuk tahun ini, Melaka menerima peruntukan berjumlah RM300,000 bagi industri nanas menerusi peruntukan Projek Keterjaminan Makanan.

“Insya-Allah kita harapkan peruntukan ini meningkat pada tahun hadapan memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan berjumlah RM300 juta bagi meneruskan projek Keterjaminan Makanan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

455
Kongsi :
Previous post KLUSTER INDUSTRI WILAYAH TENGAH PEMANGKIN PERKEMBANGAN EKONOMI MELAKA
Next post ‘NIGHT FARMING’ NANAS BERMULA TAHUN DEPAN