
SEDEKAD BINA EMPAYAR KLINIK GIGI, DR. NURUL AIN DIIKTIRAF USAHAWAN WANITA BERJAYA MELAKA
KLEBANG 6 Disember – Kejayaan hampir sedekad membina empayar perkhidmatan pergigian membawa tuah berganda kepada Dr. Nurul Ain Jaafar, 41, apabila meraih dua anugerah pada Majlis Anugerah Usahawan Negeri Melaka (AUNM) 2025 yang diadakan di sebuah hotel, di sini, pada Rabu.
Pemilik Klinik Pergigian Nur’ain itu meraih Anugerah Khas Usahawan Bumiputera yang membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan, sementara itu bagi Anugerah Usahawan Wanita dia membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi serta sijil penghargaan.
Ibu kepada lima anak itu tidak menjangkakan akan menerima pengiktirafan berganda dan menganggap anugerah diterima sebagai rezeki hasil komitmen seluruh pasukan.
“Sejak 2016, klinik pertama dibuka di Ayer Keroh, alhamdulillah rangkaian perkhidmatan kami dikembangkan di Merlimau, Melaka Raya, Pulau Sebang dan Jasin.
“Saya menganggap rezeki yang diterima sebagai hasil komitmen seluruh pasukan. Rangkaian Klinik Pergigian Nur’ain disokong 41 kakitangan termasuk 10 orang doktor,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Dr. Nurul Ain berkata dia sangat bersyukur apabila suaminya, Mohd Munawir Mohd Arshad, 41, turut membantu menguruskan cawangan-cawangan Klinik Pergigian Nur’ain sekitar Melaka.
Jelasnya, kejayaan diraih mendorongnya untuk lebih agresif dengan sasaran membuka 10 lagi cawangan baharu sekitar Melaka dan Negeri Sembilan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Slogan atau ‘tagline’ kami ‘premium oral care dengan harga berpatutan’ adalah komitmen kami di Klinik Pergigian Nur’ain untuk memastikan semua lapisan masyarakat mampu menerima rawatan pergigian berkualiti.
“Fokus saya adalah untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga Melaka dan memperkukuh latihan dalaman bagi meningkatkan mutu perkhidmatan ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


