Sorting by

×

PMKS MELAKA BERALIH KEPADA DIGITAL – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SERI NEGERI 5 Disember – Pelbagai program kendalian SME Corporation Malaysia (SME Corp) melancarkan dan mempercepatkan lagi usaha transformasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kepada teknologi digital.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soo Chin berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) dengan menyediakan bantuan geran dan pinjaman.

“Program ini bagi meningkatkan produktiviti usahawan melalui pembelian mesin, peralatan serta aplikasi ICT yang menggalakkan automasi dan pendigitalan.

“Atas inisiatif itu sehingga 1 Oktober 2025 terdapat syarikat-syarikat dari Melaka telah menerima kelulusan geran berjumlah RM132,740.44,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Leng Chau Yen (PH-Banda Hilir) mengenai langkah Kerajaan Negeri dalam membantu PMKS beralih kepada digital pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Katanya, Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) turut memberi bantuan peringkat awal untuk perusahaan mikro menubuhkan dan menguruskan perniagaan dengan lebih cekap.

“Ini juga bagi melatih komuniti inklusif memperoleh kemahiran baharu dalam menjana pendapatan melalui keusahawanan.

“Program ini juga membantu usahawan meningkatkan jualan melalui platform e-dagang serta memperkemas operasi melalui sistem pengurusan kewangan dan akaun.

“Bagi tahun 2025 sehingga Oktober, sebanyak 65 perusahaan mikro daripada Melaka telah menerima manfaat dengan peruntukan berjumlah RM382,017.60,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

274
Kongsi :
Previous post RM500,000 RANCAKKAN PELABURAN DI MELAKA
Next post MELAKA SEDIA INSENTIF KHAS BANTU OKU BELI RUMAH PERTAMA