Sorting by

×

PENEMPATAN SEMULA PASTIKAN KEBAJIKAN KAKITANGAN PANORAMA MELAKA TERJAMIN – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SERI NEGERI 5 Disember – Kebajikan 59 kakitangan Panorama Melaka Sdn Bhd (PMSB) diberi perhatian penuh oleh Kerajaan Negeri susulan penutupan syarikat itu.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mtyheen Kunju Basheer berkata, penempatan semula kakitangan dilaksanakan merangkumi semua peringkat termasuk bahagian pengurusan dan pemandu bas bagi memastikan kerjaya mereka terus terjamin.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan seramai 19 kakitangan dalam Bahagian Pengurusan, Pentadbiran dan Sokongan telah diserapkan ke beberapa anak syarikat milik Kerajaan Negeri.

“Antara entiti terlibat ialah Mcorp Corporate Services (MCCS), Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. (MICTH), Kumpulan Melaka Berhad (KMB), Melaka Bekal Sdn. Bhd., Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Putra Specialist Hospital dan Syarikat Pembangunan Pertanian.

“Penempatan itu dibuat bagi memastikan kesinambungan kerjaya serta kebajikan kakitangan terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN- Bemban) mengenai konsesi perkhidmatan PMSB pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Hameed berkata, bagi 40 kakitangan Bahagian Operasi Bas dan Pemandu pula, mereka telah melalui proses temu duga serta penilaian oleh syarikat Handal Indah Sdn. Bhd. (HISB), iaitu pengendali baharu perkhidmatan bas henti-henti di Melaka.

“Proses ini bertujuan memberi peluang kepada kakitangan berkenaan meneruskan perkhidmatan dalam industri sama di bawah pengurusan baharu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

231
Kongsi :
Previous post MELAKA SAMBUT BAIK CADANGAN WUJUDKAN WILAYAH METROPOLIS
Next post MELAKA SEDIA 4 INISIATIF MESRA PERUMAHAN