
MELAKA MAHU SEDIA JENGKAUT MINI SETIAP DUN, PERMUDAH URUSAN GALI KUBUR
SERI NEGERI 5 Disember – Bagi memudahkan urusan menggali kubur atau penyediaan liang lahad, Kerajaan Negeri bercadang untuk membeli jengkaut mini untuk diletakkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan itu dikaji boleh membolehkan urusan kematian di negeri ini dipermudahkan.
Jelas beliau, dengan adanya kemudahan jentera itu, setiap tanah perkuburan boleh memiliki sekurang-kurangnya 10 liang lahad yang siap digali lebih awal, sekali gus memudahkan urusan pengebumian jenazah.
“Ini juga secara tidak langsung memudahkan kerja penggali kubur, di mana mereka hanya perlu menjaga dan mengemas setiap liang lahad yang telah disediakan sebelum urusan pengebumian.
“Saya dimaklumkan, sebelum ini, ada urusan pengebumian di negeri ini tergendala disebabkan ketiadaan penggali kubur atas urusan lain, oleh sebab itu, memikirkan kaedah ini untuk memudahkan urusan pengebumian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 yang bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ sempena Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad dan Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh.
Menurut Ketua Menteri, perkara itu akan dibincangkan bersama Pegawai Kewangan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini sebelum pengumuman lanjut dilakukan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


