Sorting by

×

MELAKA SAMBUT BAIK CADANGAN WUJUDKAN WILAYAH METROPOLIS

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SERI NEGERI 5 Disember – Kerajaan Negeri menyokong dan menyambut baik cadangan mewujudkan Wilayah Metropolis atau Inisiatif Wilayah Tengah, melibatkan kerjasama antara Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kewujudan wilayah baharu itu diyakini dapat memperkukuh ekosistem pelaburan serantau dan menonjolkan kepakaran setiap negeri tanpa persaingan, seterusnya memacu transformasi ekonomi negara.

“Saya yakin, penyertaan Melaka dalam inisiatif ini bakal membuka lebih banyak peluang pelaburan, khususnya dalam sektor elektronik, automotif, logistik dan teknologi digital.

“Wilayah ini diunjurkan menyumbang hampir 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, serta mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 yang bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Menteri, ke arah membina Melaka sebagai negeri maju yang berasaskan pelaburan berkualiti tinggi, Perbadanan Melaka (MCORP) telah melaksanakan beberapa projek berimpak tinggi antaranya, Melaka Inland Port di Taboh Naning bernilai RM220 juta yang mana operasinya dijangka akan bermula pada Oktober 2026.

Selain itu, menurut beliau, MCORP juga bekerjasama dalam pembinaan hospital baharu bernilai RM540 juta di Bukit Baru dengan Majlis Pecah Tanah dijangka bermula pada penghujung Januari 2026.

“Pada masa sama, satu MoU telah ditandatangani MCORP pada 23 Oktober 2025 yang lalu bagi pembangunan Hab Kecemerlangan Penerbangan Fasa 1 dengan pelaburan RM150 juta ringgit di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, di mana pembangunan Fasa 1 seluas 17 ekar telah dikenal pasti untuk pembangunan MRO (mantainance repair overhaul) dan pusat latihan simulator penerbangan helikopter.

“Projek Data Centre Negeri Melaka bernilai RM64 juta di tanah seluas 279 ekar Telok Gong pula dijangka akan bermula pada penghujung 2027, selain pembangunan Melaka Halal Hub 2.0 bernilai RM35 juta di Serkam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

290
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA 7 INSENTIF BAHARU RANCAKKAN PELANCONGAN
Next post PENEMPATAN SEMULA PASTIKAN KEBAJIKAN KAKITANGAN PANORAMA MELAKA TERJAMIN – EXCO