
RM500,000 RANCAKKAN PELABURAN DI MELAKA
SERI NEGERI 5 Disember – Sejumlah RM500,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi merancakkan lagi pelaburan di Melaka pada tahun depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu disalurkan kepada Invest Melaka Berhad sebagai penggerak utama pelaburan negeri bagi memudah cara urusan antara jabatan kerajaan dan pelabur.
Jelas beliau, dua inisiatif utama akan diperkenalkan ke arah usaha menarik pelabur pada tahun hadapan iaitu Melaka Industrial Booster dan Melaka Connect.
“Melaka Industrial Booster berupaya mempercepat kelulusan tanah industri secara digital, menyediakan pusat sehenti semakan tanah dan memberi insentif pembangunan tanah terbiar dalam kluster elektrik, elektronik, semikonduktor, automasi, logistik pintar, dan tenaga boleh Baharu.
“Manakala Melaka Connect pula menjadi platform sehenti yang menghubungkan syarikat tempatan dengan pelabur antarabangsa, serta memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi menembusi pasaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 yang bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Menurut Ab Rauf, dengan memperkukuh prinsip ‘ease of doing business’ dan merancakkan kemasukan pelaburan baharu, Kerajaan Negeri menjangkakan lebih 15,000 peluang pekerjaan bakal dibuka untuk rakyat Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


