Sorting by

×

MELAKA SEDIA INSENTIF KHAS BANTU OKU BELI RUMAH PERTAMA

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

SERI NEGERI 5 Disember – Kerajaan Negeri membangunkan Skim Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Pengurusan tanah berbentuk insentif khas kepada golongan sasar bersempena pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026.

Ketua Menteri berkata, skim itu bukan sahaja mempertingkat pengurusan hal ehwal tanah demi rakyat, bahkan pada masa sama memastikan kebajikan golongan sasar terpilih terus terpelihara.

Jelas beliau, antara insentif khas yang disediakan adalah penjualan unit hartanah kuota Melayu (Kod A) yang tidak terjual kepada pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat di Negeri Melaka bagi pembelian rumah pertama.

“Ia merangkumi pengecualian fi urus niaga pindah milik; pengecualian kebenaran pindah milik dan gadaian serta diskaun 5 peratus kepada OKU bukan Melayu dan diskaun 10 peratus kepada OKU Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 yang bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Selain itu, Ketua Menteri berkata, insentif tunggakan cukai tanah juga turut diperkenalkan, di mana, Kerajaan Negeri akan memberikan diskaun 15 peratus tunggakan bagi tempoh bayaran yang diterima bermula 1 Januari hingga 28 Februari 2026.

Manakala, bagi tempoh bayaran yang diterima bermula 1 Mac hingga 31 Mei 2026 diskaun 10 peratus tunggakan akan diberikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

198
Kongsi :
Previous post PMKS MELAKA BERALIH KEPADA DIGITAL – EXCO
Next post PARKIR PERCUMA DI MELAKA SEMPENA MUSIM PERAYAAN