
MELAKA SEDIA 7 INSENTIF BAHARU RANCAKKAN PELANCONGAN
SERI NEGERI 5 Disember – Bagi merancakkan sektor pelancongan pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri memperkenalkan beberapa insentif baharu di bawah Skim MESRA Pelancongan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, insentif itu bertujuan mencetuskan gelombang pengunjung yang disasarkan 19 juta orang pada tahun 2026 menerusi pelaksanaan lebih 220 acara pelancongan merangkumi 14 subsektor pelancongan.
Jelas beliau, insentif itu juga secara tidak langsung memperluas lagi penyertaan rakyat dalam arus pembangunan pelancongan
Menurut Ketua Menteri, insentif pertama merupakan tiket masuk percuma ke lokasi pelancongan terpilih sempena 11 sambutan Hari Badan Beruniform dan Penjawat Awam, di mana ia diberikan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa serta komitmen anggota perkhidmatan awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negeri.
“Menerusi inisiatif ini, penjawat awam boleh memilih satu lokasi pelancongan, dan setiap ahli keluarga terdekat, iaitu suami atau isteri serta anakanak turut menikmati diskaun 50 peratus.
“Tiket masuk percuma ini boleh digunakan dalam tempoh satu bulan dari tarikh setiap sambutan tersebut, di mana ia memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 anggota penjawat awam, di samping keluarga masing-masing yang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM1.7 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 yang bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan, Kerajaan Negeri turut menyediakan insentif kemasukan percuma ke lokasi pelancongan bagi pengunjung dan pelancong yang lengkap berpakaian busana tradisional etnik Melaka pada setiap program Melaka Bila Larut Malam.
Menurut beliau, inisiatif kemasukan percuma itu juga ditawarkan kepada pelancong antarabangsa yang lengkap mengenakan busana tradisional etnik Melaka, sempena ketibaan kapal pesiar Genting Dream Cruise pada setiap hari Isnin.
“Tidak cukup dengan itu, seramai 300 pengayuh beca di negeri ini juga akan diberikan insentif khas dan caruman PERKESO, melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM200,000.
“Insentif kelima pula berupa insentif Khas kepada lebih 50 persatuan dan NGO Pelancongan dengan peruntukan RM300,000, selain peruntukan RM500,000 disediakan bagi Bantuan Dana Pelancongan kepada lebih 200 remaja.
“Insentif terakhir pula adalah penganjuran Program Memperkasa dan Merakyatkan Adat serta Budaya di 28 DUN, dengan peruntukan RM500,000,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata, bagi tujuan pemeliharaan, kelestarian warisan serta pembangunan lain di kawasan Tapak Warisan Dunia Melaka, Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan World Heritage Conservation Fee kepada pelancong luar negara pada kadar RM60 dewasa dan RM40 untuk kanak-kanak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


