
BAJET NEGERI MELAKA 2026: PERUNTUKAN PENDIDIKAN DARIPADA BAYI HINGGA KE MENARA GADING
SERI NEGERI 5 Disember – Peruntukan daripada bayi hingga ke menara gading disediakan Kerajaan Negeri bagi memperkasa pendidikan anak Melaka sepanjang 2026.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, di bawah pentadbiran beliau selain berpegang kepada prinsip demi rakyat untuk rakyat, sebanyak enam inisiatif telah disediakan membabitkan bantuan pendidikan.
Jelas beliau, inisiatif pertama adalah program MeSRa Pendidikan Bayi, iaitu menyediakan simpanan awal dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan peruntukan RM200,000.
Selain itu, ujarnya, sejumlah RM200,000 lagi diperuntukkan bagi program MeSRa Pendidikan Tuisyen Percuma untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Turut dilaksanakan program kecemerlangan calon SPM dengan peruntukan RM700,000 di bawah program MeSRa Pendidikan SPM dan RM70,000 lagi bagi program MeSRa Pendidikan STPM untuk program kecemerlangan calon STPM.
“Di bawah program MeSRa Pendidikan Ijazah pula insentif RM1,000 disediakan untuk anak Melaka yang memperoleh Ijazah Kelas Pertama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam negara membabitkan peruntukan RM200,000.
“Manakala, RM303,000 lagi diperuntukkan untuk program MeSRa Pendidikan Tahfiz, iaitu insentif RM3,000 untuk setiap sekolah tahfiz berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 yang bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut menyalurkan peruntukan RM750,000 bagi mengerakkan inisiatif-inisiatif berimpak tinggi yang dapat menyuburkan pemikiran, membina karakter dan memupuk nilai murni dalam kalangan rakyat Melaka.
Jelas beliau, antara inisiatif tersebut adalah Pertandingan Bercerita Cerita Rakyat Tempatan; Program Pembangunan Pemimpin Pelapis serta Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala TYT.
“Selain itu, tiga program akan diselaras oleh Universiti Islam Melaka (UNIMEL) iaitu Human Capital: Heritage and Hospitality; Pembudayaan Akhlak dan Sahsiah Pelajar serta Program Persekitaran Sekolah Selamat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


