Sorting by

×

RM700,000 PERKASA BELIA MELAKA TAHUN DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 5 Disember – Kerajaan Negeri komited memperkasa belia di negeri ini menerusi pelbagai program di peringkat akar umbi dengan peruntukan berjumlah RM700,000 pada tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, di bawah inisiatif MeSRa Belia, sebanyak RM500,000 akan disalurkan bagi pelaksanaan Dewan Belia Negeri Melaka, Townhall Anak Muda Melaka, Program Agro Belia serta pelbagai lagi.

Selain itu, sejumlah RM200,000 lagi akan diperuntukkan bagi Program Integrasi Belia Sarawak, Johor, Sabah dan Melaka.

“Program integrasi ini akan dianjurkan di bumi bertuah ini pada Oktober 2026, sebagai simbol semangat perpaduan rentas negeri dan aspirasi kebangsaan generasi muda,” katanya ketika berucap membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 yang bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai aktiviti sukan dan rekreasi, Ab Rauf berkata, Kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan turut komited menyediakan kemudahan sukan, dengan peruntukan berjumlah RM10.9 juta merangkumi pelbagai projek.

Jelas beliau, ia termasuklah naik taraf Dewan Badminton Majlis Sukan Negeri; naik taraf kemudahan fasiliti sukan; bina baharu Lapang Sasar Memanah di Ayer Keroh serta pembaikan Kemudahan Sukan Komuniti di setiap DUN.

“Lanjutan daripada itu, sebanyak RM1.2 juta turut diperuntukkan bagi memperkasa amalan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat melalui pelbagai program, antaranya, E-Sport Melaka; Sukan Mahasiswa serta Sukan Tradisional seperti Dam Aji dan Konda Kondi dan banyak lagi.

“Pada masa sama, RM2.5 juta juga diperuntukkan bagi melaksanakan program pembangunan sukan, khusus bagi persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA),” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

199
Kongsi :
Previous post BAJET NEGERI MELAKA 2026: PERUNTUKAN PENDIDIKAN DARIPADA BAYI HINGGA KE MENARA GADING
Next post MELAKA PERUNTUK HAMPIR RM12 JUTA NAIK TARAF JALAN, TERANGI JALAN GELAP