Sorting by

×

KURANGKAN RISIKO UNIT TIDAK TERJUAL, PR1MA PARIT MELANA DIHENTIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

SERI NEGERI 5 Disember – Projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Parit Melana terpaksa dihentikan bagi mengurangkan risiko unit tidak terjual.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pembangunan projek itu telah dihentikan susulan pelaksanaan Pelan Rasionalisasi PR1MA pada 2019.

Beliau berkata, PR1MA merupakan pemegang hak milik tanah Parit Melana yang terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.

“Pelan Rasionalisasi itu bertujuan untuk menilai semula keberkesanan dan kelestarian projek perumahan PR1MA seluruh negara.

“Selaras dengan pelan itu, projek Parit Melana dihentikan bagi mengurangkan risiko unit tidak terjual khususnya bagi projek yang menunjukkan prospek pasaran yang rendah.

“Penamatan projek ini juga merupakan langkah penting untuk mengoptimumkan penggunaan sumber dan mengurangkan pengeluaran aliran tunai sekali gus memastikan penumpuan diberikan kepada projek yang lebih berdaya maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Rais berkata, PR1MA mempunyai tujuh projek yang terdiri daripada 4,514 unit di seluruh Melaka yang mana lima daripadanya telah siap dibina membabitkan 3,307 unit manakala dua lagi projek sedang dalam pembinaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

222
Kongsi :
Previous post MELAKA PERUNTUK HAMPIR RM12 JUTA NAIK TARAF JALAN, TERANGI JALAN GELAP
Next post BAJET NEGERI MELAKA 2026 BELA KEBAJIKAN NELAYAN